Kisah itu

Jun 7, 2009

Apa sudah jadi!

Filed under: Uncategorized — anassaudi @ 3:03 am

Saya sedang bekerja untuk Ethylene Polyethylene (Malaysia) Sdn Bhd untuk tempoh 2 bulan lebih. Saya melapor diri pada 22/3/2009.

Saya cuba sedaya upaya untuk menjadi pekerja yang baik seolah-olah hidup di dunia untuk selama-lamanya.

Ramai yang berpendapat untuk mendapat pekerjaan di kala gawat begini sebagai satu nasib yang baik. Saya setuju. Oleh kerana itu, Alhamdulillah

Dalam tempoh 2 bulan ini, saya pernah merasai bagaimana perasaan sunyi, hilang dalam ramai, dan janggal.

Kadang-kadang saya rindukan zaman belajar juga. Saya selalu merasa begitu.

Tapi sebenarnya, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Waktu belajar dahulu saya pernah rasa waktu menjadi bayi lebih baik. Saya pernah rindu menjadi bayi.

Saya gembira, kerana saya dekat dengan keluarga dan si dia. Segalanya ok

Kepada yang membaca,
Bersyukur atas apa yang kita ada, buat yang terbaik, dan jangan lupa pada mereka yang pernah berbakti kepada kita

Saya mahu berubah!

Ketabahan, kepunyaan, makna, dan keluarkan aksi!

November 5, 2008

Jawapan untuk entri di bawah

Filed under: Politik — Tag: — anassaudi @ 4:54 pm

Barack Obama

WASHINGTON 5 Nov. – Rakyat Amerika Syarikat (AS) memilih calon Demokrat, Barack Obama semalam sebagai Presiden kulit hitam mereka yang pertama, dengan memberi beliau kemenangan bersejarah ke atas calon Republikan, John McCain. – AFP [pautan]

Selamat duduk di rumah putih!

November 4, 2008

Rumah putih untuk siapa?

Filed under: Politik — Tag:, , , , — anassaudi @ 10:42 pm
Ihsan huhu dari Utusan

Esok merupakan hari bersejarah buat negara yang pengaruhnya sebegitu luas sekali. Jadi tidak salah jika saya sibuk mahu berkongsi kegalakan saya untuk menyentuh soal presidensi Amerika yang bakal ditentukan esok hari. Jika anda bertanya saya siapakah yang saya akan pilih jika saya warga Amerika, sudah tentu saya akan memilih mereka yang bercirikan islamik dan tidak zalim mahupun menzalimi orang lain. Zalim dan menzalimi orang lain termasuklah memfitnah dan merancang dan bersubahat dalam konspirasi tahap tinggi.

Walaubagaimanapun saya bukanlah warga Amerika seperti penasihat projek tahun akhir saya yang pulang ke kampung halamannya (mungkin dengan tujuan mahu mengundi). Beliau kata beliau tidak ambil kisah mahu mengundi kerana beliau sudah anggap New Zealand ini negara primer beliau. Mungkin beliau terpengaruh dengan kata-kata saya yang beliau patut mengundi kerana apa yang berlaku di Amerika memberi kesan kepada seluruh dunia. Jadi, pulanglah mengundi untuk kebaikan seluruh umat dunia. Mungkin saja..haha

Jadi, kalau saya diberi peluang untuk mengundi, siapa yang akan saya undi? Saya akan kata Obama. Saya akan undi Obama kerana apa? Mudah sahaja, kerana dia berkulit hitam, tetapi gerak geri dan percakapannya lebih putih daripada kulit Mc Cain. Walaubagaimanapun saya berasa kurang arif untuk saya berkata-kata dan menyentuh perihal politik Amerika kerana saya memang tidak tahu menahu akan sejarahnya dan tidaklah saya menghafal nama-nama presiden yang lepas.

Saya suka mengikuti penulis blog tenaga ini dan apa yang dapat saya simpulkan dalam tulisan beliau kali ini adalah beliau percaya dan tetap dengan pendiriannya mahu memilih seseorang yang faham dan mengambil berat akan isu tenaga dan ada cara mengatasi krisis tenaga yang menghimpit dunia ketika ini. Maka dek kerana kedua-dua calon mempunyai polisi tenaga yang kurang meyakinkan, beliau tidak mengundi langsung. Dia seorang penganalisis tenaga dan tenaga adalah perkara yang paling penting dalam memilih calon presiden.

Saya memandang ini sebagai sesuatu yang positif dalam kematangan dalam memilih. Memilih berdasarkan satu kepercayaan yang berlandaskan ilmu. Walaupun isu tenaga nampak remeh, tetapi bagi beliau, ia penting dan seorang presiden baru harus mempunyai kefahaman yang jitu dan meyakinkan. Bagi kita, pilihan kita juga nanti harus bersandarkan kefahaman dan keyakinan yang benar. Bukan dikabui oleh wang ringgit, serban, fanatik kepartian, songkok, konspirasi, gambar tindih, atau fitnah yang dibawa dari mulut ke mulut yang busuk tidak bergosok sejak dari pagi semalam.

Saya tidak sabar menunggu keputusan esok walaupun ada sang pesimis yang berkata, “alah, tukar presiden, Amerika tetap Amerika, dah tak Amerika la saing ngan budak sejid

November 2, 2008

Periksa dan keseimbangan

Filed under: Peribadi — Tag:, — anassaudi @ 9:37 am
Seperti yang dijangka

Hidup ini macam peperiksaan. Tapi hidup lagi hebat dari peperiksaan. Kerana apa? Kerana pulangan tenaga yang kita curahkan ini lebih banyak lipat gandanya dari pulangan sebuah peperiksaan. Bayangkan hidup selama 60 tahun dan ganjarannya ialah hidup selama-lamanya di akhirat. Namun kehidupan di akhirat bergantung bagaimana kita hidup di dunia, sama ada hidup selama-lamanya dengan ganjaran syurga atau hidup selama-lamanya dengan seksa api neraka. Minta dijauhkan dari pilihan kedua itu.

Selesai 3 daripada 4 peperiksaan akhir membuatkan saya terfikir akan hala tuju hidup selepas ini. Saya selalu juga terfikir di dalam hati mahu menghabiskan pelajaran secepat mungkin, dan terus menjalani kehidupan yang baru. Namun begitu, saya dapat rasakan pada masa hadapan, saya akan berharap untuk belajar kembali kerana bosan dengan kerjaya. Walaubagaimanapun, hidup mesti terus dengan perjuangan. Bak kata abah, hidup ini perjuangan.

Saya geram dengan soalan semalam. Saya sangat tidak berpuas hati dengan cara pemarkahan untuk kertas itu.

“Senaraikan 12 fungsi utama “bahan perisa” sepertimana yang dikelaskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika. Pada pendapat anda, 3 fungsi apakah yang paling utama “bahan perisa”?” (2.5 markah)

Memang saya mahu tergelak pada mulanya melihat markah itu, 2.5 markah untuk soalan yang saya rasakan sangat lebih tinggi nilainya. Saya akui saya tidak bersedia dan tidak menghafal kesemua 12 fungsi itu. Saya tidak menghafal kesemua 12 itu kerana sudah diajar di dalam kelas bahawa hanya 3 fungsi utama itu sahaja yang penting. Ini adalah contoh soalan yang tidak memberikan pulangan yang menarik dan memberansangkan. Soalan ini adalah soalan permulaan untuk kertas itu dan saya sudah cukup kecewa untuk menjawab soalan-soalan yang lain. Apa-apa pun syukur alhamdulillah.

Saya selesai menghabiskan 3 peperiksaan dalam tempoh 4 hari dan ini sudah cukup menjadikan hidup saya dalam keadaan yang tertekan dan kesedihan. Mohon maaf kepada sesiapa yang saya terkasar bahasa dan terkasar muka. Saya tahu, dalam semua situasi kita harus memberikan senyuman dan berbicara lembut sesama manusia. Cumanya, saya benar-benar dalam keadaan tertekan dan terketat. Tinggal satu kertas sahaja untuk saya duduki iaitu pada 12/11 yang mana kertas itu adalah selama 7 jam setengah. Mudah-mudahan seminggu tempoh persediaan ini benar-benar memberi pulangan yang baik.

Bila bicara berkenaan masalah pulangan ini saya teringat konsep pulangan tenaga, EROEI, yang mengukur nisbah pulangan tenaga daripada tenaga input. Saya harap tenaga yang dicurahkan untuk peperiksaan ini bermakna dan dapat mengubah kehidupan saya yang mendatang. Lebih dari satu pun nisbahnya saya sudah cukup gembira.

Hidup bukan sekadar peperiksaan. Ramai yang kuat berusaha untuk peperiksaan dan alpa dalam kehidupan seharian. Mudah-mudahan kita lulus peperiksaan dan juga kehidupan ini.

P.s:
Saya mengakui teruja dengan ciri-ciri wordpress dan kerana itu terhasil sudah kembar untuk blog ini. [sini]
Nasib sudah tidak menyebelahi Liverpool hari ini. Benar, Liverpool dan nasib tidak dapat dipisahkan. Sekurang-kurangnya itulah kata-kata mereka di Soccernet. Bila menang liverpool bernasib baik, tetapi bila kalah, Liverpool memang tahi. Cait!

Oktober 14, 2008

Buruas

Filed under: Uncategorized — anassaudi @ 2:07 am
Maaf, anda tidak dapat Datuk

Bising juga jadinya bila keraJaan Melaka menganugerahi Shah Rukh Khan dengan gelaran Datuk atas alasan mempromosi negeri Melaka melalui satu babak di dalam filem One 2 Ka 4 di A Famosa Resort pada tahun 2001. Reaksi saya macam biasalah, mempersoalkan tindakan sebegitu. Namun begitu, ada juga yang mempersoalkan kenapa tidak diberi sahaja kepada mereka yang memberikan jasa yang lebih kurang sama sahaja seperti Shah Rukh Khan ini, misalnya:

  • Catherine Zeta Jones dalam filem Entrapment, sumber Lim Kit Siang
  • Jackie Chan dalam filem Police Story, saya lupa Police Story ke berapa..dah tahu, police story 3..saya peminat Jackie Chan
  • Anas Saudi dalam filem Pekan Boy, sumber dirahsiakan

Kalau ikutkan melalui kiraan bintang, kiraan bintang untuk filem Police Story 3 lebih tinggi daripada One 2 Ka 4 ( rujuk IMDb, Ging chaat goo si 3: Chiu kap ging chaat vs One 2 Ka 4) . Bagi saya, Datuk untuk Jackie Chan lebih wajar. Saya mungkin bersikap berat sebelah kerana tidak menonton filem Hindustan dan tidak meminati Shah Rukh Khan. Walaubagaimanapun, Jackie Chan mempromosikan Kuala Lumpur melalui aksi lasak yang boleh mengakibatkan kematian beliau. Bagaimana pula aksi di A Famosa itu? Setakat menari-nari baik tak payah..

Sebetulnya, gelaran Datuk harus diberikan kepada Allahyarham Ahmad iaitu ayah kepada bapa saya, Saudi bin Ahmad kerana beliau berjuang dalam usaha kemerdekaan negara. Selain itu, beliau juga merupakan seorang datuk yang baik kepada cucu-cucunya. Al-fatihah kepada beliau..

Hari ini, Seniman pula mempersoalkan isu Shah Rukh Khan ini. Jika ada di antara kita yang bising-bising akan gelaran Datuk ini, bagi saya mereka lebih layak bersuara dan saya mengalu-alukan suara atau vokal mereka (vocalizing)..

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof menggesa pihak kerajaan negeri membuat penilaian yang sebaik mungkin apabila mengurniakan sesuatu anugerah kepada mana-mana artis.

Kenyataan ini dikeluarkan ekoran bantahan Seniman mewakili artis tanahair terhadap penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada aktor Bollywood popular, Shah Rukh Khan sempena ulangtahun ke-70 Hari Jadi Yang DiPertua Negeri Melaka Tun Mohd. Khalil Yaakob pada Sabtu lalu.

“Ini hak mereka, kami tak larang mereka untuk beri anugerah itu, tapi kami harap ia diberi penilaian sebaik mungkin agar anugerah itu dihormati.

“Sabtu lalu, dia juga tidak menghadiri upacara tersebut dan kami rasa seperti satu penghinaan kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika sidang media bantahan Seniman di pejabat Finas, Hulu Kelang,kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Menurut Mustapha, mereka patut bertanya kepada pihak yang bersesuaian seperti Finas mengenai kelayakan untuk memberikan anugerah kepada seseorang selebriti.

“Kami bukanlah terdesak dengan kementerian dan kerajaan negeri, tapi kami harapkan keadilan,” katanya.[pautan]

Selepas ini saya berharap akan ada suruhanjaya yang mengkaji ciri-ciri sebenar penerima gelaran-gelaran tertentu di Malaysia.

Saya untuk Datuk? Tidak mengapalah, tunggu saya dapat cucu dahulu..Kalau Dato’ saya akan fikir dahulu..

Oktober 9, 2008

Demam ekonomi

Filed under: Uncategorized — anassaudi @ 10:36 am
Lengkungan Phillips

Dalam tengah-tengah kehangatan ekonomi ini. Seronok juga melayan telatah lelucon yang berkaitan ekonomi. Seperti biasa, video ini saya kongsikan selepas menontonnya dalam kelas ekonomi baru baru ini.

Suatu perkara yang saya mengesani diri saya pada pelajaran kali ini adalah sesuatu polisi ekonomi tidak mampu menggembirakan semua pihak. Perkara ini dijelaskan oleh encik pensyarah dengan menggunakan lengkungan Phillips. Contohnya, dalam menurunkan inflasi, kita harus bersedia mengurangkan pendapatan domestik kasar (GDP) dan masalah pengangguran akan berlaku. Jika kita mahu mengurangkan masalah pengangguran, masalah yang akan kita hadapi adalah kenaikan inflasi. Harus diingat, masalah ini berlaku dalam jangkamasa yang pendek. Perkara ini juga mengingatkan saya jika kita mahu berjaya untuk jangkamasa yang panjang, kita harus bersedia berkorban. Kejayaan lazimnya dibayar dengan harga sebuah pengorbanan.

Cerita tentang ekonomi polisi ini saya teringat akan laporan polis berkenaan tindakan Dr M yang menjahanamkan ekonomi negara.

Di New Zealand ini, debat berterusan sama ada mahu menaikkan kadar faedah ataupun tidak. Demam ekonomi dunia yang menyerang Amerika turut dirasa bahangnya di sini.

Interest rates should come down now – Key

Reserve Bank rules out early rate cut

Oktober 7, 2008

Prinsip dan politik

Filed under: Uncategorized — anassaudi @ 11:05 pm

[Terkini]Yang seorang lagi itu tidak akan bertanding pada pemilihan UMNO march depan. Ini membuktikan jangkaan saya salah dan saya terkejut. Asyik betul saja jangkaan saya kali ini salah apa salahnya..

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Presiden Umno Mac depan, sekali gus dijangka membuka luas gelanggang persaingan pemilihan parti kali ini.

Abdullah akan melepaskan kedua-dua jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno pada Mac depan.[pautan]

[Entri asal]
Kita disajikan dengan pelbagai berita politik yang saya fikir cukup basi untuk saya hidangkan kali ini. Namun kali ini saya tertarik mahu berkongsi sesuatu yang saya rasa menyentuh perasaan saya sebagai seorang rakyat dan manusia biasa. Saya tahu ramai yang akan mengutarakan rasa tidak puas hati kerana kelantangan dan cadangan beliau yang bertentangan dengan prinsip parti-parti politik yang tertentu. Saya masih dengan pendirian saya, menyokong sesiapa yang saya lihat memperjuangkan kebenaran, lebih dari perjuangan parti mahupun individu. Saya masih teringat bagaimana beliau pernah digelar ‘bapak syaitan’ oleh seorang individu yang merasakan dirinya sudah habis malaikat. Minta dijauhkan..

PETALING JAYA: Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menjelaskan beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Mufti Perlis sebagai tanda protes kepada kerajaan negeri.

“Saya berhenti sebagai tanda protes kepada kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Ditanya sama ada pengunduran tersebut disebabkan kekecewaan beliau terhadap kerajaan negeri, Asri berkata, beliau telah menegur dan menyampaikan apa yang perlu diperkatakannya [pautan]

Ini pula dipetik dari blog beliau

Oleh kerana isu perletakan Jawatan Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin sebagai Mufti Perlis telah menjadi polemik, maka dengan ini dikeluarkan beberapa kenyataan rasmi;

  1. Isu ini diharapkan tidak dipanaskan lagi kerana beliau telah membuat keputusan dan surat beliau kepada USM untuk kembali bertugas telah pun dihantar dengan rasminya.
  2. Beliau juga berterima kasih kepada Negeri Perlis yang telah memberi peluang kepadanya sepanjang tempoh yang lepas.
  3. ‘Permainan silap mata politik’ adalah perkara yang biasa berlaku dalam negara ini, namun maksud tersebut tercapai dengan mudah kerana beliau sendiri mempunyai hasrat untuk berhenti.
  4. Terima kasih kepada Kerajaan Perlis yang lepas dan juga Pihak Istana Perlis yang selama ini memberikan ruang yang amat baik.
  5. Tanggungjawab dakwah dan seruan kepada kebenaran akan diteruskan seperti biasa.
  6. Perletakkan ini juga adalah bukti bahawa pandangan, teguran atau sokongan tidak bertujuan mendapat kedudukan dan jawatan.
  7. Beliau kemungkinan akan pergi membuat cuti penyelidikan di luar negara dalam masa yang terdekat.
  8. Ruang dakwah dan memberikan pandangan insyaAllah masih terbuka di masa hadapan dengan apa yang akan Allah permudahkan.
  9. Pandangan yang berpaksi prinsip sentiasa terpaksa membayar harganya, dan ini mungkin sebahagian daripadanya.
  10. Diharapkan mereka yang berjawatan yang sama selepas ini sentiasa memberikan pandangan untuk kebaikan imej Islam, rakyat dan negara.
  11. Beliau berdoa kepada Allah agar dalam tempoh dua tahun yang lepas semasa beliau bertugas sebagai mufti beliau telah berbuat sesuatu dalam pembinaan prinsip dan minda rakyat berasaskan kepada kefahaman dari al-Quran dan al-Sunnah.
  12. Kontrak muftinya akan tamat pada akhir Oktober 2008.
  13. Terima kasih kepada banyak pihak; rakyat dan pemimpin yang telah memberikan sokongan moral dan semngat yang begitu padu selama ini.

** Penjelasan rasmi daripada Mufti Perlis ini disediakan oleh webmaster drmaza.com
** Terima kasih.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada DrMAZA kerana telah membuka mata kalangan mereka yang benar-benar mahu mempelajari Islam dan saya ucapkan selamat menempuhi cabaran yang baru.

Saya masih tertunggu pendirian yang seorang lagi, sama ada mahu bertanding atau pun tidak pada pemilihan UMNO yang ditangguh sehingga ke bulan Mac 2009. Kenapa perlu tangguh kalau tidak mahu bertanding? Apa-apa pun jawapan akan diketahui tidak lama lagi.
Sengaja saya petik sesuatu dari Che Det,

5. It is said that on 9th October, the day before the divisions are to hold their meetings, he will announce that he will not stand for election as President of UMNO. The question is, will he announce it? I have this suspicion that he will not. If he does not it would not be surprising. He is not a man of his words.

Oktober 4, 2008

Cahaya penyaksian

Filed under: Uncategorized — anassaudi @ 9:18 pm
Menyaksikan kembali dari belakang dan menang

Saya lambat mengucapkan selamat hari raya aidil fitri kepada tetamu blog ini. Maka dengan penuh perutnya, saya mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada muslimin dan muslimat yang menyambutnya, tidak kira tua muda, tinggi rendah, kacak bergaya, gemuk kurus, cantik menarik tertarik, riuh sepi, bujang, teruna dara, dan apa-apa sahaja status anda buat masa ini.

Hari raya pada tahun ini masih seperti 2,3 tahun yang dahulu, tanpa keluarga menemani. Walaubagaimanapun saya tidak sepi kerana banyak acara rumah terbuka yang jika saya mahu senaraikan, tidaklah dapat saya berbuat demikian kerana terlalu banyak dan saya sudah terlupa. Apa-apapun kepada tuan rumah yang sudi menjemput saya, atau pun tidak jemput tetapi saya ada, maka saya ucapkan terima kasih kerana sudi melayan kerenah saya di rumah anda.

Tahun ini saya ada juga mencuba berbuat sesuatu di dapur. Walaubagaimanapun usaha saya itu agak mengecewakan kerana kurangnya ilmu dan kepakaran. Bila ilmu sudah diturunkan dari emak semuanya sudah terlambat kerana bahan-bahan mentah sudah pun habis digunakan.

Penulis, rakan-rakan dan saudara baru itu [gambar ihsan Selor]

Saya juga meraih pengalaman pertama membawa rakan saya memeluk Islam. Saya dan beberapa rakan yang lain membawa rakan Jerman saya ini ke masjid pada waktu Asar untuk mengisytiharkan keislaman beliau. Walaubagaimanapun Imam masjid tiada ketika itu. Maka kami bercadang membawa beliau kembali pada waktu magrib. Bukanlah syahadah/penyaksian itu wajib dibuat di masjid. Dia sudah pun mengucapkan syahadah di hadapan rakan saya sebelum ini. Cumanya penyaksian di masjid ini menjadi satu sambutan terhadap beliau dan menjadi media pemberitahuan kepada jemaah yang lain. Imam berada di masjid ketika itu dan kami dibawa ke dalam pejabatnya untuk berbincang ringkas tentang penyaksian beliau itu. Saya cukup tersentuh dengan cara Imam menjelaskan Islam seringkas yang mungkin. Ringkas tapi padat. Malahan beberapa pesanan beliau kepada rakan Jerman saya ini turut terkena kepada kami yang dilahirkan Islam ini. Kemudian, rakan Jerman saya ini dibawa ke ruang solat masjid dan dia melafazkan syahadah/penyaksiannya di hadapan kami dan jemaah-jemaah yang lain. Sungguh saya tersentuh ketika itu. Jemaah yang hadir berpelukan menyambut kedatangan seorang saudara baru. Dia kemudian dijamu dengan makanan yang kebetulan di masak dan saya turut sama tumpang sekaki. Dia mengucapkan terima kasih kepada saya, tetapi bagi saya, saya yang seharusnya berterima kasih kepada beliau kerana selama ini saya merasakan saya mengambil Islam kerana saya dilahirkan Islam. Dia mengingatkan saya pada diri saya sendiri, sebagai seorang muslim. Saya sedar bahawa pencarian mencari kebenaran ini sukar, dan orang-orang yang benar-benar berusaha dan ditunjukkan oleh Tuhan akan menjumpainya.

Tanggungjawab membimbing beliau kini jatuh di tangan rakan-rakan muslim di sini. Sama-samalah kita bantu dan bimbing beliau dalam mengharungi hidup sebagai seorang muslim. Usahlah dipersoalkan mengapa dia masuk Islam. Serahkan urusan ini kepada Tuhan, yang menunjuki jalan ke arah penyaksian ini. Tanggungjawab kita hanya membimbing dan menasihati seadanya.

Saya bersyukur kepada Tuhan kerana sahabat saya sudah selamat sampai di Pekan. Saya tidak dapat berbual dengan beliau kerana talian telefon tidak dapat dicapai atau mungkin dia sudah menukar nombor baru. Walaubagaimanapun, diberitakan bahawa dia trauma akan kejadian itu.

KUALA LUMPUR: Pengalaman menakutkan sepanjang menjadi tahanan lanun bersenjata tetap segar dalam ingatan jurutera kelima kapal Bunga Melati 5, Mohd Firdaus Zainuddin, 23, yang masih mengalami trauma walaupun sudah hampir seminggu dibebaskan. [pautan]

Seorang lagi rakan, Tarmizie@Laloq kini berada di dalam Unit Rawatan Kecemasan kerana kemalangan. Saya tidak mengetahui maklumat yang terperinci, tetapi doakan dia untuk kembali pulih.

September 29, 2008

Bebas

Filed under: Uncategorized — anassaudi @ 5:28 pm

Alhamdulillah,
Tebusan Melati 2 sudah dibebaskan

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Harapan 29 lagi anak kapal warga Malaysia yang dijadikan tebusan sejak 42 hari lalu menyertai rakan-rakan mereka untuk berhari raya bersama ahli keluarga masing-masing tercapai apabila lanun bersenjata Somalia membebaskan kapal MT Bunga Melati 2, pagi ini.[pautan]

Gembira!

September 28, 2008

Wayang

Filed under: Uncategorized — anassaudi @ 5:12 am


Ramadan bakal meninggalkan saya, dia, awak, mereka dan kami. Terdetik di dalam hati adakah segala kebaikan yang dilakukan hanya bersandarkan pada bulan ramadan?. Adakah kita sekadar berlakon dengan watak alim dan warak hanya pada bulan ini? Atau dengan erti kata lain adakah kita bermain wayang?

Mohon doa agar segala amalan diterima, diampun, dan dilepaskan dari api neraka. Mohon juga agar kita tidak bermain wayang, kerana sesungguhnya kita adalah muslim sepenuh masa, bukan separuh masa, sesuku masa, mahupun setiga suku masa.

Kita selalu bising-bising akan ahli-ahli politik yang bermain wayang dan berlakon bagi meraih simpati pengundi. Namun, usah dilupakan diri sendiri. Adakah kita bermain wayang dengan Tuhan?
Mohon dijauhkan..

P.s:
1. Dengan izin Tuhan, ini adalah ramadan terakhir saya.. Ramadan terakhir di sini, Christchurch. Pertama ramadan saya di sini saya sudah tempuhi, dengan perasaan rindu pada keluarga di sana. Ramadan terakhir ini di sini hampir habis saya tempuhi, masih dengan perasaan rindu pada keluarga di sana, si dia, dan saya juga tahu, saya akan rindu pada pada rakan-rakan di sini yang bakal saya tinggalkan nanti….

2. Melati 5 sudah dibebaskan. Doakan Melati 2 menyusul selepas ini. Moga-moga semua sempat beraya bersama keluarga, bukan bersama lanun-lanun nun jauh di sana… [bersalah]

3. Alhamdulillah, atas segala ujian dan kesukaran yang kita tempuhi. Contohi Abg Dol ini, hilang anak, hilang bini, hilang ibu, ucapan Alhamdulillah segar meniti di bibir.

Older Posts »

Create a free website or blog at WordPress.com.