Kisah itu

Oktober 22, 2006

Nafisa

Filed under: Uncategorized — anassaudi @ 10:50 am

Tart:Kuih kegemaran atau mungkin kegeraman penulis. Ehsan gambar dari Senandung Selaily

Singkatnya saya rasakan ramadan ini. Pejam celik,pejam celik,pejam celik,pejam celik(ini adalah pantun). Sama ada ianya esok atau lusa merupakan ramadan terakhir pada tahun ini. Kenangan? Ya, banyak kenangan yang dapat saya kutip sepanjang ramadan ini. Sungguh, ramadan kali ini sungguh berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Semuanya bermula dengan kelewatan kami berpuasa berbanding negara-negara lain. Kami berpuasa dua hari lebih lewat daripada tanah arab dan sehari lewat daripada jiran kami, Australia. Sahabat-sahabat di Australia akan menyambut aidilfitri pada hari ini(Isnin). Selamat hari raya kawan-kawan. Sedangkan kami baru akan melihat anak bulan pada hari ini. Sungguh pelik jika difikirkan kenyataan ini. Saya bersangka baik dengan tidak menganggap ia sebagai pelik sebaliknya beranggapan ianya sebagai unik.

Perkara yang kedua yang membezakan ramadan kali ini adalah acara berbuka di surau universiti. Alhamdulillah, pihak universiti menyediakan satu bilik khas kepada kami untuk berbuka dan bersolat. Kemudahan yang ada di dalam bilik tersebut cukup untuk memenuhi keperluan kami. Syukur juga kerana murahnya rezeki kami dengan lambakan makanan dan juadah yang disediakan oleh pihak penaja. Terima kasih kepada abang Abdul Kader kerana dengan rela hati dan suka rela tanpa sebarang paksaan daripada saya mahu pun rakan rakan yang lain menyediakan makanan utama setiap kali berbuka. Bicara soal makanan, saya sungguh tidak akan melupakan pengalaman memasak kabab iraq. Sungguh enak dimakan kata rakan-rakan saya. Tetapi selera saya terhadap kabab ini kurang kerana tugas menyediakannya menyebabkan bau saya seolah-olah seperti bau kabab. Bukannya saya tidak mandi, tetapi asap-asap yang berkepul dari proses pembakaran lemak-lemak dan inti daging menyalut di celah-celah selirat benang baju dan lebih teruk lagi di celah leliang roma saya. Maka, bersolatlah saya dengan aroma kabab yang hangat dan menggiurkan itu. Tidak hairanlah ramai yang terliur bila melihat saya(takdelah gurau aje). Juadah kabab ini terhenti pada minggu terakhir ramadan atas sebab-sebab tertentu(bukan atas sebab yang saya ceritakan tadi). Sungguh saya tidak kisah untuk menyediakannya cuma mahu berkongsi sedikit pengalaman menjadi tukang masak tidak rasmi untuk kabab. Saya merasa sedih kerana tidak dapat masak kabab lagi pada tahun ini. Jika saya tahu kali itu adalah yang terakhir bagi saya, nescaya saya akan menghayati setiap detik dalam proses memasaknya dan merakamkannya sebagai kenangan yang terindah.

Ketika berbuka inilah saya melihat pelbagai ragam manusia dan kerenahnya. Dan kerana itulah saya mendedikasikan satu entri untuk mereka. Rujuk entri untuk seseorang. Saya di dalam dilema juga dalam menulis entri itu kerana bimbang apa yang ditegur membuatkan mereka lebih jauh daripada perkara yang ingin didekatkan. Maklumlah, hati manusia ini mudah terasa dan apabila sudah terasa maka lebih sukar mahu menarik mereka ke arah kebaikan. Namun, syukur tiada apa yang lahir dari kebimbangan saya itu. Harapan saya ketika menekan butang publish untuk entri itu adalah dapat memberi teguran sebaiknya kepada semua. Bukan ditujukan kepada sesiapa secara khusus, sebaliknya seseorang itu termasuklah diri saya sendiri.

Perkara asing yang berlaku dalam ramadan kali ini ialah mengerjakan ibadah terawih yang lebih panjang berbanding tahun sebelumnya. Alasannya? Di surau universiti ini kami menghabiskan satu juzu’ pada setiap malam(pada zaman kegemilangan abang Umar(hehe), beliau menghabiskan lebih dari satu juzu’). Setakat ini kami terhenti pada juzu’ 29. Sekiranya ditakdirkan anak bulan kelihatan pada hari ini, maka harapan menghabiskan Al-Quran dalam solat terawih tidak kesampaian. Sedih juga rasanya jika begitu. Tetapi apa-apa pun saya berserah kepada Allah. Bagi saya, bila tarikh hari raya itu tidak penting, apa yang penting ialah bagaimana kita memanfaatkan hari-hari terakhir ramadan ini.

  • Adakah kita sibuk dengan sambutan hari raya?
  • Adakah kita sibuk membuat kuih raya?
  • Adakah kita sibuk menyanyi lagu raya?
  • Adakah kita sibuk berbicara soal raya?
  • Tepuk dada tanyalah selera. Atau tepuk dada tanyalah iman….

Sungguh sedih apabila menyedari hakikat yang ramadan ini bakal pergi tidak lama lagi. Bulan yang penuh dengan rahmat dan keampunan, berlipat gandanya amalan, pelepasan dari api neraka, akan pergi meninggalkan saya tersipu-sipu. Bilakah lagi dapat dilihat suasana yang memudahkan ibadah itu dilakukan..Oh, sungguh ku berharap hasil usahaku dalam bulan ini terhapus begitu sahaja. Kerana sesungguhnya, kehilangan komitmen kepada ibadah yang dilakukan dalam bulan ramadan ini menandakan betapa amalan itu tidak diterima oleh Allah. Semoga kita semua istiqamah dalam amalan kita. Saya petik sedikit isi dari tazkirah yang disampaikan oleh seseorang pada malam ini;

  • Jika puasa bulan ramadan sudah tamat, maka ada puasa sunat yang lain seperti puasa enam di bulan syawal, puasa isnin dan khamis, puasa hari asyura dan puasa hari arafah
  • Jika sembahyang malam sepanjang ramadan sudah tamat, maka ada lagi sembahyang sunat tahajud sepanjang malam sepanjang tahun
  • Jika bersedekah dan zakat fitrah bulan ramadan sudah tamat, maka ada lagi zakat yang wajib dibayar, dan banyak lagi pintu-pintu sedekah yang lain seperti menderma, melakukan aktiviti sukarela dan berjihad.
  • Pokoknya,daunnya,dan dahannya, hilangnya ramadan ini tidak menghalang kita daripada terus melakukan amal kebaikan.

Bayangkanlah anda memikul air dari gunung yang tinggi, mengumpulkan berbaldi-baldi air selama sebulan. Anda sungguh letih dan penat kerananya. Namun anda teruskan juga mendaki gunung dan mengutip mata air yang segar darinya setiap hari. Anda kutip dan kutip kerana anda percaya khasiat air ini sungguh hebat dan menakjubkan sehinggalah cukup sebulan anda mendapat 30 baldi kesemuanya. Lalu, anda bercadang mengadakan pesta meraikan kejayaan anda mengumpul 30 baldi air mata air yang penuh berkhasiat dan menakjubkan itu. Tiba-tiba ketika pesta itu berlangsung anda kekurangan kompang lalu anda membuang semua air-air yang sudah penat anda kutip tadi ke dalam longkang supaya baldinya dapat anda palu sebagai pengganti kompang. Anda malu kepada tetamu-tetamu anda kerana tidak mempunyai kompang yang cukup. Dari menanggung malu anda rela membuang air yang sudah penat anda kumpul tadi. “Ah, tahun hadapan boleh kutip lagi”bisik hati anda. Ganjil bukan? Rugi bukan? . Begitulah ruginya jika ada di antara kita yang tidak mendapat manfaat daripada bulan ini, kembali kepada kemaksiatan seperti dahulu. Janganlah disia-siakan usaha yang tidak seberapa ini. Anda juga tidak tahu adakah anda bakal mendapat peluang seperti ini lagi pada tahun hadapan…

Saya rasa sudah agak panjang entri kali ini. Lebih panjang berbanding entri sebelumnya. Saya mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada pembaca sekalian andai kewujudan blog ini membuat saudara atau saudari tidak senang duduk atau benci kepada penulisan saya. Niat saya hanya mahu berkongsi dan berharap tulisan saya ini memberi sedikit impak kepada arah yang lebih baik hendaknya.

Selamat hari raya pada semua
Selamat tinggal ramadan
Semoga berjumpa lagi hendaknya
Tahun hadapan jika diizinkan…

Apa maksud nafisa?
Nafisa membawa maksud barang berharga atau permata……

Apakah kaitan nafisa dengan entri ini?
Itu ditinggalkan untuk anda fikirkan

Apakah selama ini saudara memikirkan akan nafisa sebagai tajuk entri ini?
Ya

Adakah nafisa menjadi tajuk lagu blog saudara?
Tidak, saya sudah tukarkan kepada lagu Salam Aidilfitri daripada Jamal Abdillah

Apakah saudara tidak tahu penat menulis?
Tahu, dan kerana itu saya berhenti di sini….

7 Komen »

  1. perumpamaan yg bagus dan sesuai utk entri kali ini..syabas diucapkan kepada saudara anas, betul, apa yg kite usahakan di bulan ramadan jangan kite sia2kan kerna bulan ramadan adelah bulan ‘latihan’ utk kite dan sepatutnyer latihan ini kite teruskan sampailah bile2 dan bukannya hanya di bulan ramadan sahaja…waAllahualam (peringatan utk diri sendiri juga)

    Komen oleh cik perantauan — Oktober 22, 2006 @ 4:55 pm

  2. semoga ramadhan kali ini membawa sinar perubahan untuk semua.. AMEENN

    Komen oleh sangkuriang — Oktober 22, 2006 @ 7:23 pm

  3. muhasabah di penghujung ramadhan..
    huu..

    Komen oleh filah — Oktober 22, 2006 @ 11:02 pm

  4. insyallah!! semoga ramadhan membawa seribu keberkatan ya.. good luck exam bro!!

    Komen oleh mohd azmir — Oktober 22, 2006 @ 11:25 pm

  5. cik perantauan, amboi syahdunya nama samaran..

    sangkuriang, ameen

    filah,ameen

    mohd azmir, terima kasih,selamat maju jaya juga kepada kamu

    Komen oleh Anas — Oktober 23, 2006 @ 4:09 am

  6. alhamdulillah,i enjoyed every second of ramadhan tis year..thanks to the surau team kat uni for makin tis ramadhan such a bless…kebab sedap ooo (walaupun diriku tak makan byk bukan kerana tidak sedap cumer mmg me tak makan byk!! :P) hopefully tahun depan pihak uni still teruskan activity sebegini…happy hari raya aidilfitri to you, maaf zahir batin and all the best for the exams !!!

    Komen oleh miss aleeya — Oktober 23, 2006 @ 5:23 am

  7. kebab itu semakin lazat rasanya jikalau ditambah dengan mayonis. sungguh masyuk. di harap umurku cukup panjang untuk berjumpa lagi dengan kebab itu.

    Komen oleh ila — Oktober 25, 2006 @ 12:14 pm


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

%d bloggers like this: