Kisah itu

November 29, 2006

Bagai anjing menyalak di ekor gajah

Filed under: Uncategorized — anassaudi @ 10:48 am

Sudah lama saya tidak menulis. Bukan sahaja menulis entri baru, malah menulis dalam ruangan mari berbual pun saya sudah buat-buat tidak endah sahaja. Mengapa ya? Di sini saya gariskan beberapa sebab yang relevan:

  • Saya malas. Sudah menjadi kebiasaan bagi manusia apabila mereka malas maka apa yang mudah untuk dibuat tidak dapat dibuat. Persoalannya, mudahkah menulis dan memperbarui blog? Pendapat saya adalah sukar. Maka bolehlah dikatakan saya sebenarnya tidak malas kerana menguruskan blog adalah tidak mudah.
  • Saya tiada isu. Memanglah saya tiada isu, negara yang punya isu, masyarakat yang ada isu. Isu saya cuma cinta semata. Tidak relevan diceritakan di sini. (Sila jangan ambil serius pengakuan ini. Sekadar berhumor atau dalam erti kata munzir berselongkor)
  • Saya sibuk dengan persiapan ke luar negara. Kepenatan menyesuaikan diri dengan perbezaan masa yang tidaklah terlalu ketara tetapi sekadar mengada-ngada. Luar negara di sini adalah negara beriklim khatulistiwa dan bercirikan panas dan lembap sepanjang tahun (Malaysia).
  • Saya sengaja. Sengaja menyepikan diri buat sementara waktu. Rakan-rakan bloggers yang lain juga turut sama sunyi buat masa ini. Kerana apa ya? Jawapan di tangan anda..

(saya cuba untuk menggariskan sebab-sebab di atas tetapi tidak tahu bagaimana mahu menggariskan ayat-ayat dengan code html. Cuma tahu menebal dan meng’italic’ sahaja. Sebarang kesulitan amat dikesali)

Hari ini saya rasakan sudah cukup bagi saya untuk menyepi kerana saya rasakan hari ini terlalu menarik untuk dikongsi. Tetapi apalah erti berkongsi jika hanya saya yang memberi. Maka saya menyeru rakan-rakan bloggers yang lain agar turut mengemaskini laman masing-masing.Hehe.

Ketika sedang menggosok baju dengan seterika jenama Panasonic, saya mendengar saluran radio berfrekuensi FM 104.10 iaitu Radio Malaysia Pahang. Dan daripada situ maka lahirlah tajuk entri kali ini iaitu bagai anjing menyalak di ekor gajah. Maksud perumpaan ini melalui ingatan saya pada rancangan pagi tadi dan juga bantuan wikiquote adalah lebih kurang begini;

Seseorang yang lemah atau tidak berkemampuan cuba untuk melawan orang yang hebat atau berkemampuan pastilah pengakhirannya tidak menyebelahi si lemah tadi. Diuraikan lagi dalam konteks yang berbeza, orang yang miskin cuba untuk mengatasi orang yang kaya dalam pembidaan dalam jual-beli sudah pasti akan gagal dek kerana tiada wang atau harta yang banyak. Juga dijelaskan juga sebagai orang yang sudah pencen tidak boleh menentang seorang Perdana Menteri sudah pasti akan mendapat penentangan yang sehabis-habisnya oleh kroni-kroni(ini contoh saya sendiri)

Jadi begitulah serba sedikit penerangan ringkas tentang peribahasa yang menjadi pilihan kali ini. Walaubagaimanapun apa yang menarik tentang peribahasa ini?

  • Penggunaan anjing dan gajah dalam peribahasa ini sungguh menarik untuk dibincangkan. Kenapa anjing dan bukannya kucing? Kenapa gajah dan bukannya penguin? katakan jika anjing digantikan dengan kucing dan gajah digantikan dengan penguin maka beginilah jadinya; bagai kucing mengiau di ekor penguin. Tidak sedap pula bunyinya. Jadi saya simpulkan sahaja bahawa anjing dan gajah lebih sedap bunyinya. Juga mungkin kerana bunyi hasilan anjing lebih padu dari kucing. Alangkan salakan anjing yang kuat dan garang itupun tidak ditakuti si gajah, apatah lagi kemanjaan iauan kucing(iauan= kucing membuat bunyi mengiau). Juga mungkin mengandungi unsur sinisme. Entahla saya tiada masa untuk kaji benda ini. Apa pandangan anda?
  • Dalam perjalanan ke Kuantan saya mendengar berita jam tujuh di dalam kereta dan terdengar akan satu perkembangan yang saya kira kena dengan peribahasa ini. Tan Sri Musa Hasan, Ketua Polis Negara mengatakan bahawa pihaknya dalam proses untuk mencadangkan penubuhan sebuah universiti polis. Maklumat terperinci tidak dapat saya bekalkan kerana tiada sumber yang dapat saya cari di internet. Tetapi secara kasarnya beliau cuba untuk meningkatkan mutu perkhidmatan polis dengan menawarkan pelajaran dan kemahiran yang lebih tersusun melalui penubuhan sebuah universiti. Apa kaitan dengan anjing dan gajah? Oh, kaitannya begini. Jika kita lihat dunia jenayah masa kini teknik dan modus operandi yang diguna pakai semakin hari semakin canggih dan maju. Tidak kiralah jenayah kolar putih , biru atau tidak berkolar sekalipun, kehebatan penjenayah-penjenayah ini memanipulasi kepandaian akal dan dunia teknologi masakini tidak dapat dinafikan lagi. Teknik penyamaran, pemalsuan, senjata semakin menjadi masalah bagi pihak berkuasa untuk menangani kegiatan jenayah buat masa ini. Lihatlah bagaimana mikrocip bernilai lebih dari 40 juta itu berjaya dirompak dan dilarikan sehingga kini belum dapat dijejaki. Jadi elok benarlah jika anggota-anggota polis diberi lebih pendedahan dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat dan dapat menyaingi kehebatan sang penjenayah juga. Jika tidak, usaha-usaha polis untuk membanteras jenayah jadilah seperti anjing menyalak di ekor gajah. Selain itu, dapatlah dijadikan ilmu tambahan bagi anggota polis yang jika mereka bersara kelak dari dunia polis. Mereka akan menjadi lebih dilengkapi dengan pengetahuan dan ilmu lantas menambahkan prospek jika mahu membina karier di samping dunia kepolisan. Saya harap usaha beliau untuk pembinaan universiti ini mendapat perhatian yang sewajarnya. Perhatian dalam konteks diadakan diskusi ilmiah akan pro dan kontra penubuhan universiti seumpama itu.
  • Itu sahaja

Saya berkesempatan bersama-sama dengan golongan veteran yang terdiri daripada pihak universiti(KUKTEM) dan pengurus-pengurus kanan syarikat tempat saya bakal melakukan praktikal(FPG OLeochemicals). Saya mendengar dengan teliti butir-butir perbincangan mereka dan di sini ingin saya kongsikan sedikit perkara yang saya rasakan bermanfaat untuk ditulis, khususnya kepada golongan mahasiswa sekalian.

Hala tuju perbincangan mereka lebih kepada keupayaan mahasiswa masa kini. Beberapa perkara yang dibincangkan amat menarik perhatian saya dan ada juga yang menyebabkan saya berasa terasa dan terusik di hulu hati. Ada beberapa perkara yang saya bersetuju dan ada juga yang saya kurang setuju dan ada juga yang saya tidak setuju. Tetapi maklumlah perbincangan orang orang veteran maka saya duduk sekadar mendengar dan menghadam maklumat-maklumat yang berguna. Perbincangan mereka dikhususkan kepada bakal-bakal jurutera yang bekerja di dalam industri. Antara yang mereka bincangkan adalah:

  • Resume dan Cover letter
    • Perlu menarik perhatian terutamanya beberapa baris perkataan di permulaan. Tunjukkanlah anda sangat berharga untuk dimiliki oleh industri itu dan jangan terlalu merendah diri. Jual diri anda dan jadikan resume anda sebaik mungkin. Sikap mahasiswa yang memandang enteng kepada kepentingan resume ini amat dikesali. Pernah satu ketika satu seminar untuk menajamkan penangan resume diadakan di UTM tetapi bilangan yang hadir amatlah mengecewakan. Resume ini terlalu penting kerana ia memberi pandangan awal tanpa melihat kepada wajah calon yang berminat mendapatkan tempat dalam sesebuah syarikat. Ramai dikalangan pelajar yang sememangnya berbakat dan berkeupayaan tetapi gagal mendapat tempat dek kerana kegagalan mereka membuat CV yang mantap.

  • Keupayaan bekerja di tapak
    • Perbincangan mereka turut menyentuh akan kebolehan pelajar melakukan kerja-kerja di tapak industri. Kata mereka, pelajar-pelajar yang cemerlang ini hanya cemerlang di kertas tetapi tidak dalam pekerjaan. Aduh, salahkah jika cemerlang dalam peperiksaan?(detik hati saya ). Tentang hal ini saya kurang bersetuju kerana saya merasakan mereka tidak berlaku adil kepada golongan pelajar itu sendiri. Adakah mereka mengharapkan kemampuan pelajar ini setanding dengan mereka yang sudah bertahun-tahun pengalaman itu? Saya rasa para penemuduga wajar meletakkan kedudukan mereka di tempat pelajar buat seketika agar dapat berlaku adil. Dalam sistem pembelajaran di universiti sekalipun pendedahan terhadap industri tidaklah terlalu meluas dan mendalam. Maafkan saya jika saya tersilap,harap tolong perbetulkan kerana saya menulis dari pengalaman saya yang cetek ini. Jadi saya rasa, jika mereka mampu cemerlang di dalam peperiksaan tetap ada kemungkinan(kemungkinan yang lebih besar) untuk mereka turut cemerlang dalam bidang kerjaya. Cumanya, kepercayaan pendedahan perlu diberikan secukupnya kepada mahasiswa.
  • Temuduga
    • Pelbagai peristiwa yang dikongsi dalam topik ini. Daripada menemuramah jawatan pemandu hinggalah ke jawatan jurutera. Konsepnya mudah, setiap temuduga itu adalah untuk mengenali karakter seorang calon itu sendiri. Kebanyakan calon merasa gusar dan tidak jujur dalam jawapan mereka. Walhal, soalan yang diajukan penemuduga sangat mudah dan ringkas. Pengalaman si penemuduga dapat mengasingkan perihal calon itu sendiri. Bak kata pepatah sekilas ikan di laut sudah ditahu jantan betinanya. Maka gunakanlah peluang temuduga ini untuk menonjolkan karakter anda yang mampu memikat industri itu sendiri. Tidak perlu berdolak dalik dalam sebarang soalan dan jika tidak tahu katakan anda tidak tahu. Tidak perlu memusing-musing dan memeningkan pula kepala si penemuduga

Inilah antara perkara yang saya ingat pada perbincangan tadi. Saya merasa cukup tercabar dengan beberapa pandangan terutamanya yang mempersoalkan kemampuan generasi mahasiswa masakini. Tetapi tidaklah saya anggap pandangan mereka itu melemahkan semangat sebaliknya mengajar supaya lebih bersedia dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Perkembangan lain yang menarik perhatian saya adalah:

  • Kenyataan Perdana Menteri mengatakan bahawa RMK 9 akan dipercepatkan prosesnya. Saya menanti secepat manakah itu
  • Kenyataan Husam menjemput Mukhriz menyertai pakatan pembangkang
  • Pengguna dinasihatkan menjangkakan kenaikan kadar tol dari RM0.10 kepada RM1.00. Aduhai, mungkin ini salah satu dari RMK 9 yang mahu dicepat-cepatkan itu.
  • Mat rempit diundang tangani masalah ragut. Bukan mat rempit ke yang ragut meragut ni?? (ini saranan saudara Azeez)
  • Shevchenko untuk David Villa??Tidak! jangan musnahkan satu lagi bakat besar dalam dunia bola sepak.
  • Maafkan saya kerana tidak menyediakan pautan sepertimana yang biasa saya lakukan seperti dulu. Saya malas dan saya pasti anda pasti mampu mencari sumbernya.( Sekarang baca suratkhabar terus tak mainla suratkhabar online-online ni)

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca entri yang tidak seberapa ini. Semoga hidup kalian lebih berharga.

P.s: Menanti kelahiran blog baru dari seorang yang suka berhumor. Moga-moga blog baru itu akan muncul jua.

Oh, terlupa saya selitkan pengajaran dari peribahasa tadi;
Jika kita mempunyai kekurangan maka lakukanlah sesuatu untuk menutupi kelemahan tersebut.

Tambahan,
Jangan terlalu menumpukan kepada kelemahan sehingga terabai pada kekuatan yang kita ada. Jika tidak, mungkin yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Ma i do a ri … Bang!!(bunyi tembakan pistol)

2 Komen »

  1. Your entry is sure worth the wait.I do have comments on your article, tp malas lak nak type (presently lacking in self-motivation to overcome laziness, ;P) Ape2pun, enjoy your hols! Teruskan usaha menjadi mahasiswa yg cemerlang, gemilang & terbilang!

    Komen oleh neng_fused — November 30, 2006 @ 9:55 am

  2. nice post anas!! akhrinya..
    tak sia2 aku menanti.. huhu!!
    keep update yer? leh aku isi masa2 bosan di NZ nie!! ahaks..
    byk sgt benda ko tulis sampai nak komen pun tak tau yg mana satu!!
    aper2 pun semoga kita dapat jadi mahasiswa yg neng katakan itu..
    muahahahaha….

    Komen oleh mohd azmir — Disember 1, 2006 @ 9:28 am


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

%d bloggers like this: