Kisah itu

Januari 6, 2007

Apabila saya bicara…

Filed under: Uncategorized — anassaudi @ 3:17 pm
Gambar YM penulis tatkala ini. Dia adalah sepupu penulis dan bercita-cita menjadi cicakman


Saya memikirkan topik yang sesuai untuk dibicarakan. Sesuatu yang santai dan tidak terlalu berat. Apabila saya bicara soal berat maka saya maksudkan sesuatu yang tidak melibatkan persoalan bangsa dan negara. Apabila saya bicara soal yang melibatkan persoalan bangsa dan negara maka secara terus terang saya katakan yang saya berniat mempolitikkan tulisan saya. Maka saya harap entri kali ini tidak melibatkan sesuatu yang berat dan menyusahkan pembaca sehingga kalian akan meneka-neka saya ini memihak kepada parti yang mana. Ditambah lagi dengan kehangatan kekosongan kerusi di ADUN N06 Batu Talam di Raub Pahang yang saya jangkakan merupakan satu kekosongan yang bakal diisi dengan pelbagai pengertian. Pengertian yang menurut fikiran saya sebagai begini:

· Jika BN tewas, maka itu merupakan isyarat jelas kepada Pentadbir utama negara untuk memperbaiki apa yang buruk dari kaca mata rakyat. Jika rakyat tidak setuju dengan apa yang dialami sekarang maka pilihan yang akan dibuat adalah menyingkirkan barisan yang pernah mereka pangkah dahulu. Mereka pangkah yang lain. Senang cerita.

· Jika BN menang,dengan syarat

o Kemenangan bersih ( jika saya bicara soal bersih maka saya maksudkan sebagai tanpa kehadiran pengundi syaitan(hantu), rasuah dan taktik kotor yang lain). Jika BN menang dengan kemenangan bersih maka saya tidak mampu menidakkan kemenangan mereka. Tetapi saya mampu menggelengkan kepala kerana memikirkan pilihan rakyat yang tidak merasa serik dengan kepincangan yang berlaku buat masa ini. Kepincangan yang saya ungkaikan dari pelbagai segi. Tidak perlulah saya terangkan lagi segi apakah yang dipelbagaikan itu. Boleh jadi segi tiga, segi empat, mahu pun segitiga bermuda(haha, ingat lawak la tu)

o Kemenangan tidak bersih, maka saya akan mentertawakan mereka dan senyum sendirian memikirkan apakah yang menimpa kita sekarang ini. Terfikir dengan cara apakah mungkin kita dapat melepaskan diri dari cengkaman buas puak penggila kuasa ini.

Sebenarnya saya tidaklah mengharapkan sesuatu keajaiban yang amat mengujakan dari pilihanraya kecil ini. Cumanya saya fikirkan tidak mustahil sesuatu yang besar bakal berlaku. Kerana yang menjadi mustahil itu cuma pada batasan sejarah. Jika saya bicara soal sejarah maka saya kaitkan dengan peristiwa silam peribadi juga. Bagi saya, kesedihan masa silam tidak menjadikan kebahagiaan sesuatu yang mustahil untuk dikecapi. Mungkin sudah dikecapi, hanya kita yang sukar menghalusi, kerana bahagia pada mata kasar kita tidak kelihatan sepertinya juga gelombang infrared dan ultraungu. Memerlukan pada alatan khas untuk kita ketahui kewujudannya. Pada kehidupan ini, kebahagiaan yang tersirat itu memerlukan kesabaran sebagai alat untuk kita mengesaninya. Semahunya kita bahagia selalu, tetapi kita mudah putus asa pada halangan di hadapan. Semahunya kita ceria selalu, tetapi kita tidak pernah bersedia mengukir senyum tatkala musibah menimpa. Jika kita mahu bahagia maka kita harus tahu sengsara. Jika tidak kita tidak pernah tahu apa itu bahagia.

Saya tertarik dengan muka depan berita harian bertarikh 5/1/2007 yang menulis bahawa betapa cemerlangnya strategi yang dirancang oleh Perdana Menteri kita dalam menjana keutuhan bangsa[pautan]. Cumanya, saya kurang faham dengan kenyataan bahawa strategi itu ada, cuma perlaksanaannya kurang membanggakan. Dan saya tertanya sendiri, atas tanggungjawab siapakah memantau keberkesanannya? Atau adakah strategi itu terlalu mengagumkan sehingga pihak yang berwajib tidak mampu melaksanakannya? Atau dalam bahasa mudahnya terlalu realistik? Atau dalam bahasa yang dipermudahkan, ‘gimik politik’ semata?. Sungguh saya tidak dapat menahan geli hati saya ketika menonton buletin utama pada malam sebelum tercetaknya berita tentang kehebatan strategi itu. Tidak terfikir dalam tempoh cuma tiga tahun beliau sudah mampu mengujakan pemujanya untuk mengadakan seminar khas yang menceritakan perihal hebatnya idea-idea beliau yang sekarang masih belum terbukti menurunkan beberapa perkara yang sedang mencanak naik tatkala ini. Saya tidaklah menutup mata pada penurunan pengangguran yang diwar-warkan oleh Senator Muhammad bin Muhd Taib. Jika benar maka saya ucapkan tahniah.

Ini saya petik dari berita harian halaman yang sama,

Pengarah Institut Sosial Malaysia, Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din, pula berkata pihak tertentu yang mempunyai agenda sendiri juga sering campur tangan dalam pelaksanaan sesuatu dasar kerajaan.

“Ada pihak cuba mengambil kesempatan daripada pendekatan pentadbiran Perdana Menteri yang dilihat berlembut dan bertolak ansur. Mereka memanipulasikan rancangan kerajaan demi memenuhi kepentingan sendiri.

“Golongan ini sering melengah-lengahkan tempoh pelaksanaan dasar kerajaan dengan membuat tuntutan sendiri sehingga ia melambatkan, malah kadangkala menghentikan terus pelaksanaannya,” katanya.

Kadang kadang ada masanya kita harus berlembut dan ada masanya kita harus bertegas. Hikmah itu bukan hanya pada kelembutan. Tetapi juga dalam kekerasan. Cumanya, ketegasan dalam kelembutan itu lebih dihargai manusia. Tetapi apa gunanya sekadar berlembut tetapi tiada ketegasan? Anda nilailah segalanya…

Saya teringat kata-kata PM yang lebih kurang begini berbunyi. “Kita harus membina kekuatan dalaman untuk mendapatkan perpaduan yang benar-benar tulen dan kukuh”. Saya mahu ulas perkara ini. Benar, tapi saya tidak tahu apakah yang dimaksudkan pada kekuatan dalaman itu kerana saya hanya terfikirkan satu bentuk kekuatan dalaman sahaja setakat ini. Haha, saya teringat iklan minuman Super Power di kaca TV. Bagi yang tidak tahu, Super Power adalah minuman yang seangkatan dengan Tongkat Ali Power Root dan Kopi Jantan dan sebagainya.

Iklan Super Power


Sudah saya katakan yang saya hanya cuba untuk membicarakan soal yang ringan tapi saya tidak berjaya elak kali ini. Mungkin naluri saya suka membicarakan persoalan yang berat. Oh, tidak! Saya seorang yang ceria dan tidak serius dalam kerja saya. Kadang-kadang tulisan tidak menggambarkan perilaku sebenar saya. Maka berhati-hati dengan tulisan sesiapa sahaja.

Saya suka benar apabila keluar daripada Masjid Pelabuhan Kuantan selepas menunaikan solat Jumaat baru-baru ini. Hal ini kerana khutbahnya benar-benar saya nantikan untuk sekelian kalinya. Pembicaraan khutbahnya adalah berkenaan suatu yang berat. Apabila saya bicara soal berat maka saya …. (anda sambung sahaja sendiri, saya pasti anda tahu apa sambungan bagi ayat di atas) Sebelum ini semenjak berada di tanah air saya rasakan yang khutbah Jumaat adalah lesu dan tidak bersemangat. Bukanlah kerana khatib itu bersuara syahdu dan lembik tetapi kerana intinya yang tidak ubah seperti lirik-lirik lagu yang kononnya nasyid tetapi sebenarnya memuja-muja sang kekasih. Bagi saya pengisian khutbah haruslah bertepatan dengan kepentingan dan keutamaan yang dihadapi masyarakat Islam setempat pada ketika itu. Wajarkah kita bicara soal kepentingan memakan buah-buahan tempatan tatkala kebanjiran murtad melanda negara kita? ( nanti ada yang menuduh saya berfikiran jumud kerana bicara soal banjir murtad tatkala negara baru kebah dari banjir besar)

Baru-baru ini saya dikejutkan dengan berita kematian senior saya di sekolah dahulu. Diserang batuk kering mengikut ceritanya. Adiknya yang sama umurnya dengan saya sudah pergi dahulu menyahut panggilan Ilahi baru beberapa bulan yang lepas. Takziah saya ucapkan. Mati tidak mengira berapakah umur kita. Moga-moga kita sudah bersedia menghadapinya.

Baru-baru ini saya tersedar sesuatu. Saya sedar yang saya sudah lupa bagaimana rasanya menyukai seseorang. Saya terlupa bagaimana hebatnya cinta itu sehingga saya memandang lemah pada yang sedang dibuai perasaan rindu dan sayang. Saya melihat itu sebagai sangat asing dan pelik. Saya katakan kepada diri saya yang saya beruntung sekarang. Saya tidaklah menyesal atas perasaan saya dahulu sungguh tidak. Tetapi saya tidak menyesal berfikiran seperti sekarang. Berfikiran enteng kepada cinta manusia. Maafkan saya.

Ada yang mengatakan blog saya ini mempunyai mood. Saya kurang pasti apakah mood itu. Tetapi mood itu ditafsirkan sebagai membuatkannya sedih, ketawa, kagum, dan sebagainya. Harap-harap cetusan mood itu bukanlah sesuatu yang buruk. Saya menulis bertemankan emosi saya, dan saya harap anda turut berkongsi emosi dengan saya. Maksud saya, berkongsi apa yang saya rasakan dalam tulisan ini. Saya harap tulisan saya menjadi penghubung pemikiran kita walaupun mungkin saya asing bagi kamu semua. Saya mengalu-alukan pemikiran anda juga.

Saya bermain futsal bersama rakan rakan saya. Sekejap sahaja sudah penat tetapi saya tidak puas. Anda tidak perlu tahu mengapa kerana saya hanya menjaringkan satu gol sahaja dan melepaskan beberapa peluang keemasan yang lain. Haih….

P.s: Takziah kepada ahli keluarga Datuk Tengku Paris Tengku Razlan. Semoga bertabah atas segala apa yang berlaku.
Selamat tahun baru kepada semua. Azam baru? Jangan tanya saya, saya seperti ini juga pada setiap tahun.
Menanti penerbangan tambang murah ke New Zealand.


Terima kasih kerana sudi membaca
Ma I do A ri..Bang!!(Bunyi tembakan pistol)

1 Komen »

  1. Wowowowow! Sy sensitip betul dgn perkataan “berat” nih… =P

    Komen oleh neng_fused — Januari 10, 2007 @ 12:16 pm


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

%d bloggers like this: