Kisah itu

Januari 12, 2007

Cemas

Filed under: Uncategorized — anassaudi @ 6:40 am
Lintah
Saya mulakan entri ini dengan Bismillah
Disudahi dengan alhamdulillah
Begitulah sehari dalam hidup kita
Mudah-mudahan dirahmati Allah

[Oh! saya terlupa menyuruh anda membaca rangkap pertama entri cemas ini seperti seolah-olah anda menyayi lagu nasyid ‘Bismillah’, nyanyian kumpulan nasyid kontemporari Raihan. Oleh kerana itu anda dikehendaki mengingatkan penulis selepas ini ya]

Saya ada satu cerita yang saya ingin kongsikan. Sebuah cerita yang ilhamnya saya peroleh dalam suasana banjir yang berlaku tidak lama dahulu. Kisah sebuah keluarga yang saya hasilkan sendiri. Ringkas, tetapi anda fikirkan sendiri mesejnya.

Ada sebuah keluarga yang pada mulanya hidup mereka aman dan damai sehinggalah pada suatu ketika…. (maaf saya tidak pandai sangat bercerita bagai beckyillham bicara, maka maafkan saya)
Si bapa sebenarnya meminjam wang sebanyak USD200,000 dolar daripada seekor lintah darat yang baru mendapat hadiah wang tunai sebanyak USD 1 juta dolar selepas menjual darah yang dihisap selama ini kepada tabung bank dunia. [Darah yang dihisap oleh lintah tadi terdiri daripada pelbagai golongan lapisan masyarakat sama ada yang miskin, kaya, tua, muda, melayu, cina, India, jawa, bugis, banjar, arab. Juga tidak mengira pekerjaan dan di mana mereka berada; peladang di ladang Synergy Drive, petani di sawah padi milik syarikat kilang beras cap rambutan, budak praktikal di FPG, guru sekolah di sekolah dan banyak lagilah. ]

Setelah tempoh pinjaman yang ditetapkan si bapa tidak mampu untuk memulangkan kembali wang yang pernah dipinjam dari si lintah darat. Maka marahlah lintah darat tadi dan mengancam mahu mendapatkan kembali wangnya walau dengan apa cara sekalipun. Maka si lintah tadi memilih untuk melakukan cara yang bersesuaian dengan tema kehidupannya, iaitu menghisap darah seluruh ahli keluarganya. Si bapa yang ketakutan terus melarikan diri ke luar negara. Alasan bapa? Dia penat menguruskan keluarga dan mahu berehat sebentar seorang diri. Katanya, dia tidak bimbang akan keluarganya kerana dia sudah melepaskan tanggungjawabnya kepada ibu (timbalan ketua keluarga) untuk menghadapi tempoh sukar ini bersama anak-anak mereka.

Pergilah si bapa dengan penuh rasa bersalah dan kasih sayang ke luar negara mencari damai abadi. Si ibu yang bijak bestari berpemikiran melayu glokal itu mengadakan rundingan damai abadi dengan si lintah tadi. Ibu mencadangkan agar si lintah menghisap darah keluarga mereka secara berkala iaitu sebanyak satu meter padu seminggu. Maka sudah sebulan darah mereka dihisap dan keadaan fizikal mereka sangat lemah dan longlai. Maka bertanyalah si anak kepada ibunya.

Anak: Ibu, kenapa ayah berada di luar negara? Kita di sini bagai mahu kering darah dihisap intah, tergamak ayah meninggalkan kami di sini, adakah bapa tidak sayangkan kami? Anak-anaknya…”
Ibu: Kuri, bapak sayangkan kamu semua. Jika tidak, masakan bapak bisa menalipon dari padang golf di sana. Bapak katakan bapak pantau dari jauh
Anak: Oh, begitu rupanya….saya tak sangka ayah pantau kita dari jauh sahaja….Btw mak, nama saya bukan kuri, nama saya Suri…

Bijak ibu bukan bijak biasa. Bijak ibu getaran yang sama. Ibu telah memikirkan satu strategi yang mantap dan hebat. Ibu menyusun sebuah strategi yang bisa memakan dirinya sendiri. Ibu menghirup segelen refined glycerin yang dicuri dari kilang berdekatan dengan harapan refined glycerin itu akan memasuki aliran darahnya. [ Mengikut hemat saya, jika refined glycerin ini ditelan pada kadar yang tinggi oleh manusia mereka akan mati jika tidak sekadar kebas badan sahaja. Jika yang menelan adalah lintah, maka memang akan mati].

Si ibu pengsan kerana badannya kebas dan dia sempat menyuruh sang lintah darat menghisap darahnya pada waktu yang ditetapkan. Sesungguhnya perjanjian konsesi antara mereka adalah rahsia tetapi penulis dapat menceritakan kepada kalian melalui teknik menggodam komputer peribadi milik si ibu tadi. Maka, matilah lintah darat tadi kerana menghisap darah si ibu yang bercampur dengan refined glycerin itu. Tamatlah ancaman daripada si lintah darat yang sungguh kejam itu.

Maka pulanglah bapa dari pelariannya tadi dengan hajat mahu berjumpa keluarganya. Namun apa yang dicitakan hanya sia-sia kerana keluarganya telah berpindah ke tempat lain. Mereka pindah ke bulan yang dikelilingi hutan-hutan hijau. Setiap malam si bapa melihat bulan dan berfikir..

“Kali ini, aku benar-benar pantau dari jauh…..”

Sebenarnya, si anak berasa kecil hati dengan si bapa kerana sekadar memantau dari jauh…Ibunya yang bijak bestari berjaya menipu wang milik si lintah darat dan menjadi kaya raya sehingga dapat berhijrah ke bulan.

Tamat…

Sebenarnya cerita ini hanya rekaan semata-mata. Buat mereka yang sedih mendengar cerita ini maka maafkan saya. Buat mereka yang tertawa, saya tidak buat lawak pun. Buat mereka yang jelek dengan cerita ini, sudah saya katakan cerita ini adalah rekaan saya. Saya penulis blog ini. Saya punya sukalah..

Ingin saya tegaskan bahawa cerita ini hanya rekaan penulis semata-mata dan tiada kaitan dengan yang hidup dan yang mati. Sesungguhnya khasiat refined glycerin tidaklah diketahui penulis tetapi yang pasti jangan cuba menelan segelen bahan kimia itu ya.

Saya tertarik dengan penarikan atau dengan lebih tepat pemboikotan Pas dan PKR dari pilihanraya kecil di DUN 06 Batu talam yang bakal dijalankan tidak lama lagi. Saya rasakan mereka merasakan sesuatu yang serius perlu diambil perhatian oleh SPR. Saya teringat komen Tan Sri Rashid yang menidak dan memperlekehkan pihak Jabatan Pendaftaran Negara dengan perkataan ‘Tak boleh harap’. Kata-kata beliau memang menyingsingkan lengan kesabaran saya kerana saya pernah berkhidmat sebentar dengan JPN dan saya tahu komitmen mereka. Saya katakan Tan Sri Rashid ini enggan mengakui kelemahan sendiri sebaliknya menuduh kepada pihak yang lain pula. Sudahlah begitu, diperlekehkan pula pihak yang lain di hadapan jutaan penonton televisyen. Saya puas secara peribadi dengan tindakan PAS dan PKR menarik diri yang seolah-olah memberi tamparan kepada kredibiliti SPR itu sendiri. Alasannya jelas, SPR harus menggubal kembali apa yang dikatakan sebagai tidak relevan lagi pada masa kini. Bagi pihak yang menentang penarikan pembangkang ini, saya hormati pendirian anda. Saya Cuma membayangkan satu gelanggang yang telah disediakan dengan sempurna namun mutu pengadilan menghampakan. Saya kira lebih baik tidak bertanding kerana sudah pasti akan kekalahan. Seperti mana juga kekesalah Sazali Samad di Doha baru-baru ini.

Saya terlalu mentah untuk bicara soal ini maka saya tinggalkannya supaya kedewasaan saya pada masa akan datang menjawabnya.

Penulis akan berurusan dengan pihak kementerian kesihatan esok. Penulis berharap mendapat layanan dan perhatian yang sewajarnya dari petugas yang berkaitan. Saya tidak mengharapkan karpet merah, cuma cukuplah dengan sekuntum senyuman…
[sebelum penulis sempat naikturun entri ini, penulis terlebih dahulu berurusan dengan badan kerajaan itu. Hasilnya, berjambak senyuman penulis terima, namun apa yang penulis inginkan tidak mampu dilunaskan buat masa ini. Banyak lagi langkah yang perlu dijalani contohnya seperti urusan surat menyurat dan sebagainya. Penulis telah berkunjung ke tiga pejabat yang berlainan untuk menyiapkan tugasan namun tiada kesampaiann kepada apa yang penulis inginkan. Ini cuma birokrasi mudah, belum lagi tahap tinggi seperti yang dikatakan Perdana Menteri semalam. Untuk memulakan industri di Malaysia 9 langkah harus dilalui dalam tempoh 30 hari berbanding di Jepun dua langkah dalam masa dua hari. Teruskan usahamu Perdana Menteri]

Sudah sebulan lebih penulis berada di tanah air. Ini juga bermakna yang penulis cuma mempunyai sebulan lebih juga sebelum berangkat kembali ke tempat menuntut ilmu. Maka, harus saya hargai anugerah ini.

Kepada mereka yang membaca entri ini, terima kasih. Kepada yang tidak membaca, salahkan mereka yang membaca kerana tidak memberitahu anda kewujudan entri ini secara khususnya, dan blog ini secara umumnya.

Sekian, terima kasih…

P.s: Refined glycerin adalah salah satu produk utama di tempat kerja penulis. Baru-baru ini syarikat mendapati ada kekurangan kuantiti refined glycerin yang dihasilkan dan dicurigai ada yang dicuri. Refined glycerin boleh kedapatan di dalam minuman seperti coca-cola dan kebanyakan ubatan tempatan dan luar negara.
Penulis sedar akan kehilangan inti realiti cerita tadi dan semuanya adalah disengajakan atas alasan pantau dari jauh. Eh, bukan,sebenarnya atas alasan mengembangkan variasi dalam tulisan saya.
Tajuk cemas diambil kerana komputer penulis mengalami masalah sebelum dapat menaip entri ini. Komputer enggan berfungsi apabila suis penghidup ditekan. Penulis benar-benar tertekan dan cemas sehingga terdetik mahu membeli komputer baru…tetapi sudah pasti hanya angan-angan kerana penulis tiada duit. Haha
USD dolar dipilih daripada RM. Alasan? FTA dan anda . Apa kata rafidah? [pautan]

Penulis gemar perkataan melayu glokal

Penulis dikejutkan dengan satu lagi kenaikan yang bakal dihalusi Perdana Menteri. Alhamdulillah. Moga-moga usul kenaikan gaji kakitangan awam ini diluluskan.[pautan]

Ma I do A ri.. Bang!! (Bunyi tembakan pistol)

5 Komen »

  1. Menarik cerita encik tu, tapi pic lintah tu memang menggelikan.

    Puas hati dengan pemboikotan tu? Saya pun! BN memang akan melatah, sebab bila dah confirm menang, duit yang akan disalurkan akan berkurang i.e. kuranglah habuan individu. Harap-harap ramai yang terbuka mata .

    Balik Malaysia jangan lupa daftar pemilih.

    Komen oleh nasyrah — Januari 13, 2007 @ 2:51 pm

  2. hahaha

    asal ibu boleh tersasul nama aku doh.. naik pecah perut aku bace

    Komen oleh sangkuriang — Januari 13, 2007 @ 8:13 pm

  3. hi anas,
    this is mazween.

    lama x lawati blog awk. nice N3 kali ini. powerful reason x bertanding dalam piliharnraya tsbt.

    I hope govt should democracy spnuhnya in next time GE.

    opps terbaca ur previous n3.

    ada mslhn dgn buah hati ker?

    ha..ha..

    sian kat u…tak per.. alot of girl u can find kat unvrsti u tu.

    hope u’ll find another soon.

    good luck.

    Komen oleh laugh — Januari 15, 2007 @ 3:03 pm

  4. seperti kata hadi awang. BN lwn demokrasi..haha
    Tapi alih alih ada calon bebas.sama umur pulak tu.
    masalahan?
    haha
    dulu

    Komen oleh Anas — Januari 19, 2007 @ 2:37 pm

  5. aku takut setiap kali nak bukak page nih kerana gambar lintah itu!
    hahah

    Komen oleh afifi — Januari 19, 2007 @ 11:47 pm


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

%d bloggers like this: