Kisah itu

April 24, 2007

Entri ini ertinya kalah

Filed under: Uncategorized — anassaudi @ 2:54 am
.Erti kekalahan sebenar.

Kekalahan itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima
Kekalahan itu bukan sesuatu yang enak untuk dicerna

Kekalahan adalah satu perkataan yang sememangnya dilihat, didengar, dan disebut sebagai perkara negatif. Banyak benar situasi yang mengujakan, menggoncang, mengusik keinginan sanubari saya untuk mengulas dan membuat sedikit komentari tentang kewajaran kekalahan itu sendiri.

Banyak cabang kekalahan yang saya mampu ungkit dari kehidupan seharian saya sendiri dan juga kehidupan seharian orang lain. Istilah ‘tak nak kalah’ bagi saya merupakan istilah yang besar maknanya. Maksud istilah itu mampu memberi tafsiran terhadap keadaan psikologi dan penerimaan semulajadi terhadap satu keadaan yang bernama kekalahan.

Dari segi peribadi, kekalahan merupakan sesuatu yang menakutkan.
Kenapa?

  • Kekalahan itu pedih kerana diri terlalu yakin untuk menggapai kemenangan
  • Kekalahan itu menyakitkan kerana diri sendiri tiada upaya untuk menang. Hakikat kelemahan dan kekurangan sendiri itu ditolak kerana memikirkan diri sudah cukup sempurna
  • Kekalahan kadang-kadang tidak memberi gambaran sebenar akan kekuatan sebenar kita. Tetapi benarkah?
  • Kekalahan itu memalukan. Lebih-lebih lagi jika ditonton oleh orang lain.
  • Kekalahan itu bukanlah kemenangan yang diimpikan (ulang-ulang isi yang sama, siapa suruh serius sangat baca)

Saya berminat untuk menulis tentang kekalahan kerana saya melalui beberapa situasi kekalahan dalam masa yang terdekat ini. Situasi kekalahan ini saya bolehlah pecahkan kepada beberapa perkara, berkaitan peribadi, masyarakat, bangsa dan negara.

Maka eloklah rasanya saya mulakan dengan yang paling penting, iaitu berkaitan negara. Jika anda tidak bersetuju dengan susunan saya ini(kerana anda merasakan perkara peribadi lebih penting atau dalam erti kata lain, anda tidak mahu kalah) maka bacalah dari bawah ke atas. Kebelakangan ini saya jarang mengambil pusing akan perkara-perkara yang berkaitan negara kerana sibuk dengan agenda lain. Antara agenda yang saya lalui adalah agenda peribadi. Oh, cukup setakat ini gusar nanti saya bercerita soal peribadi dahulu sebelum bicara soal negara. Baik, teruskan berbisnes. Sindrom yang melanda negara tatkala ini adalah sindrom pilihanraya di N11 Ijok. Hebat rasanya pertarungan kali ini. Kehebatan yang sudah pastinya melangkaui dua pilihanraya sebelumnya (Batu Talam dan Machap) yang kedua-duanya menjadi milik BN. Debat antara kedua-dua parti ini sedang rancak menari melalui pentas ceramah umum dan juga melalui platform laman web dan blog. Apa yang menarik berkenaan pilihanraya kecil ini adalah bersemukanya dua muka besar dari kedua-dua parti, Datuk Seri Najib dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar semenjak sebelum pilihanraya lagi riuh mengaitkan kelibat Najib dalam kontroversi pembunuhan Altantuya. Penggunaan C4 yang dikatakan tertera nama kementerian pertahanan(hehe, bom itu mungkin ditampal semula agaknya) benar-benar mahu mengaitkan Najib dengan kes ini. Najib pula tidak mahu kalah dengan lebih ke arah beralah. Tetapi mengalah Najib tidak kosong, mengalah Najib dengan peluru yang disorok dalam kantung seluarnya. Apa yang disimpan itu pun tiada siapa yang tahu. Memang jika diperhatikan pilihanraya kali ini menjadi pertembungan secara tidak langsung antara Najib dan Anwar. Kredibiliti Najib selaku TPM pasti tercalar andai jentera pilihanraya kali ini tidak mampu menggugat kempen bekas TPM itu. Politik itu tidak pernah sunyi dari kontroversi. Politik juga tidak pernah sunyi dengan situasi taknak kalah. Tidak pernah lagi saya mendengar pihak yang kalah mengakui kekalahan dan juga kelemahan jentera parti. Kebanyakan sudah pasti menyalahkan sistem pilihan raya, prinsip demokrasi, dan sebagainya. Lebih teruk lagi, menyalahkan pihak pengundi kerana membuat undian yang salah. Seolah-olah wajib mengundi mereka. Seharusnya kekalahan itu dikaji dan diberi ubatan yang sepatutnya. Belajarlah memenangi hati pengundi dengan mengubah persepsi awal mereka terhadap sesebuah parti. Saya tidak mengkhususkan kepada mana-mana pihak tetapi secara umumnya saya melihat pengundi-pengundi kebanyakannya memilih berdasarkan persepsi. Bercerita tentang persepsi sudah pasti menyentuh pelbagai lagi isu terutamanya hal yang mewujudkan persepsi itu sendiri [saya tidak perlu sentuh yang ini].

Satu lagi perkara taknak kalah yang dapat saya cungkil baru-baru ini adalah berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama. Haha. Berlumba-lumba mencipta rekod yang entah apa-apa. Rekod yang saya kira tidak membantu apa-apa. Rekod kebab terpanjang? Rekod sandwich tertebal? Aduhai lebih baik panjangkan saf di dalam masjid. Haaa, yang paling baru, mat-mat rempit menewaskan kontinjen negara lain dalam operasi terjun menerjun di kutub utara. Tahniah! [sila jangan menerima ucapan tahniah sebagai sesuatu yang ikhlas, boleh jadi saya sarkastik, boleh jadi…]

Saya rasa itu sahaja berkenaan negara. Saya membaca buku yang bertajuk ‘Ousted ‘yang menceritakan bagaimana berlakunya perpecahan antara Malaya dan Singapura yang saya rasa cukup menyedihkan. Satu lagi episod taknak kalah yang berlaku. Atau mungkin itu adalah yang terbaik bagi kedua-dua negara berjiran ini. Perkauman saya percaya merupakan satu sentimen utama yang mengheret kedua-dua negara ini kepada satu perpisahan. Saya percaya, jalinan kaum sewaktu masa dahulu adalah sangat berbeza dengan masa kini. Namun, itu tidak menjamin apa-apa selagi tiada toleransi atau sifat mengalah antara kita. Mengalah bererti memberi ruang kepada semua untuk merasa. Mengalah tetapi dalam masa yang sama harus berlaku adil dan saksama. Dan adil itu kadang-kadang tidak bermakna sama rata tetapi bijak dalam membahagi bahagia untuk sekarang dan akan datang…


Dari segi peribadi, saya melalui pelbagai siri kekalahan dalam pelbagai bentuk. Dan salah satunya saya menghadapi kekalahan dalam permainan game Pro Evolution Soccer 6. Nampak remeh, tetapi dari permainan ini sebahagian karakter manusia dapat saya telah. Bagaimana reaksi kita apabila menang, reaksi apabila kalah, reaksi apabila seri, cukup menceritakan segalanya. Sudah pasti, perkara yang paling sukar adalah menerima kekalahan walau kita tidak rugi barang sedikit pun sekiranya mengakui kelemahan sendiri. Mungkin perkara ini lahir dari cogankata yang digunakan satu ketika dahulu iaitu ‘jadilah yang terbaik di antara yang terbaik’ dan yang lebih taknak kalah lagi adalah ‘jadilah yang terbaik kalahkan yang lain’. Corak pemikiran inilah yang menghasilkan mentaliti sentiasa menang. Tidak salah untuk menang tetapi ketahuilah kemenangan itu sesuatu yang subjektif dan dari segi peribadi, saya melihat kemenangan itu melalui cara kita meraikan kemenangan dan juga kekalahan itu sendiri. Jadi saya percaya kata-kata ini lebih bermakna, ‘jadilah antara yang terbaik’…

Bicara soal bolasepak, saya sangat tidak berpuas hati dengan beberapa pasukan yang suka menyalahkan keadaan, khususnya sang pengadil. Walaupun benar juga sang pengadil memainkan peranan dalam mencipta kekalahan(keputusan memberikan penalti) tetapi corak permainan yang lemah dan tidak meyakinkan juga harus dipersalahkan. Saya mengambil contoh kekalahan Real Madrid kepada Racing Santander. Menyalahkan pengadil tidak mengubah kedudukan pasukan yang teruk dan tidak bermain baik.(baca kalau berminat)

Dari sesuatu yang lebih peribadi. Saya bertarung dengan prinsip dan perasaan. Memecah sesuatu prinsip kadang-kadang menguraikan kaca-kaca hati. Dan saya tidak pasti akan pilihan saya kali ini, meski saya tahu prinsip saya itu jelas untuk sesuatu yang ideal. Cumanya, kebimbangan manusia yang lemah seperti saya ini tidak bertempat dan terlalu pesimis. Maka, saya hampir kalah tetapi atas dasar tidak mahu kalah, saya berpegang kembali kepada prinsip sendiri. Prinsip dan perasaan, jika tidak diurus dengan baik, mampu meleburkan kedua-duanya sekali.

Saya suka benar tidak mahu kalah dalam perbandingan cuaca dengan kawasan yang lain di New Zealand ini. Seboleh-bolehnya Christchurchlah yang paling sejuk dan yang paling hebat cuacanya. Dan saya percaya, anda di kawasan yang lain sudah pasti tidak mahu kalah dan mahu mengangkat tempat anda sebagai lebih sejuk. Perkara yang sama juga berlaku di kalangan pelajar jurusan yang berbeza. Semua tidak mahu kalah mengatakan kursus mereka lebih sukar dan mencabar. Mekanikal dengan ujian, bengkel; kimia dengan makmal; elektrikal dengan menghadap komputer sentiasa; dan pelbagai lagi. Mungkin saya sahaja yang merasakan begini tetapi sifat taknak kalah ini benar mencuit hati.

Sebagai kesimpulannya, kekalahan itu walaupun pahit harus diambil dengan hati yang terbuka dan akal yang menerima. Apabila kekalahan menjenguk kita, yakinlah kemenangan itu ada pada waktu yang berbeza, cara yang berbeza, keadaan yang berbeza. Bersifat mengalah tidak bermakna anda lemah, tetapi anda menang bertarung dengan ego sendiri. Apabila kalah usahlah menghamburkan pelbagai alasan, sebaliknya perbaikilah kelemahan yang sedia ada untuk masa yang seterusnya.

P.s:
Saya sebenarnya mahu menggunakan perkataan kiasu tetapi bimbang ada yang mentafsirkan saya menujukan entri ini kepada entiti tertentu. Usah bimbang, saya menujukan entri ini kepada semua manusia tanpa mengira siapa anda…

Kepada penyokong Roma maafkan saya, saya tidak menjumpai definisi kekalahan sebenar melainkan tumpas 7-1 di tangan Manchester United.

Tahniah kepada Raul kerana tidak pernah dilayangkan kad kuning selama 30 bulan. Hehe.

Saya melihat pertemuan itu kadang-kadang sebagai satu masalah. ‘Kamu’ yang berkenaan sudah tahu pasti kenapa ya….

Ma I do A ri.. Bang!

3 Komen »

  1. Salam Anas,

    entri yang bagus! Menyeluruh.

    Terus-terang, dulu aku pun ada perangai tak nak kalah ni (sekarang ada jugak ~ sikit-sikit :P), tapi kalau mengalah pun apa salahnya. Kata orang, mengalah tu tandanya lebih matang. Berdiam dan membenarkan sebenarnya take more effort dari berdegar-degar cakap kosong.

    -Becky.

    Komen oleh Rebecca Ilham — April 27, 2007 @ 12:49 pm

  2. sejujurnya aku puas bila “opponent aku” tersenyum bangga sbb die rasa dia menang. biarlah die rasa apa yang die nak rasa. hahah. opps, “opponent aku” itu tidak semestinya musuh.

    Komen oleh afifi — April 28, 2007 @ 10:30 am

  3. mungkin sebab terlalu mengalah menyebabkan malaysia selalu dipijak oleh singapura. ingat kembali isu air

    Komen oleh Anonymous — Mei 14, 2007 @ 7:00 am


Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

%d bloggers like this: