Kisah itu

Ogos 25, 2008

Sumpah saya kecewa

Filed under: Uncategorized — anassaudi @ 10:02 am

Saya pasti dan saya setuju jika ingin dikatakan bahawa kehangatan isu sumpah benar-benar mengisi atmosfera perbualan, diskusi, polemik dan perdebatan. Secara jujur, pada mulanya saya melihat cadangan untuk bersumpah mubahalah ini adalah suatu tindakan yang positif. Namun begitu, setelah melihat bagaimana isu sumpah ini dipolitik dan dikonspirasi, saya sudah tidak dapat menahan rasa kecewa lagi.

Sumpah mubahalah ini menjadi sensasi bila mana mufti perlis mengutarakan cadangan untuk bermubahalah bagi membersihkan nama pihak yang tertuduh. Cadangan ini nampak goyah kerana bagi sesetengah pihak, mengapa perlu orang yang tertuduh bersumpah, bukankah sebenar-benarnya orang yang menuduh harus mengemukakan bukti-bukti terhadap tuduhannya.Ya, saya setuju benar dengan penjelasan itu. Tetapi bagaimana pula anda menjawab terhadap tuduhan konspirasi, konspirasi dan konspirasi. Perkataan yang paling kerap disebutkan untuk mempertahankan diri adalah konspirasi. Bukan konspirasi biasa, malah konspirasi tahap tinggi.

Bilamana perkataan konspirasi digunakan. Maka keadilan mahkamah dan integriti polis sudah pasti dipersoalkan dan diragui. Oleh yang demikian, apa pun keputusan mahkamah dan siasatan polis, keputusan itu sudah ‘ditetapkan’ dan pihak yang tertuduh sudah pasti dijatuhkan hukuman bersalah, walaupun tidak. Kerana inilah cadangan bersumpah laknat ini dicadangkan. Jika keadilan dari mahkamah duniawi tidak dapat dikecapi, maka bersumpahlah dengan bersaksikan yang Maha Esa.


“Ia bukan proses mahkamah. Tidak perlu hakim, tidak perlu wang dan tidak perlu junjung al-Quran. Saya cadangkan ketika keadaan begitu kelam kabut, ada yang kata mahkamah tidak boleh dipercayai, ada kata konspirasi, ada kata benar, ada kata rancangan jahat dan berbagai-bagai. Rakyat bertelingkah, keadaan seakan gawat, masa depan dipertaruhkan dalam isu yang sedemikian rupa. Sama saja, samada kes liwat atau Atantuya.[pautan dari Dr MAZA]

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata “mubahalah” atau bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam.[pautan]

Saya pada mulanya beranggapan bahawa cadangan ini merupakan suatu yang ada benarnya, ada logiknya. Namun begitu, ia tidak semudah yang saya sangkakan. Rentetan sumpah daripada Saiful Bukhari selaku pihak yang menuduh, pelbagai reaksi dan pendapat yang bertukar menjadi ‘fatwa-fatwa’ politik dan seterusnya menjadi ‘anutan’ pengikut-pengikut yang berpaksikan kepartian dan bukan kebenaran. Sumpah yang sampah, bak kata mereka. Dipersoalkan kenapa harus memegang al-Quran, kenapa salah menyebut tarikh (26/8 sepatutnya 26/6), kenapa salah menyebut ungkapan watallahi, kenapa nak libatkan keturunan, dan bermacam-macam lagi. [pautan video sumpah saiful boleh dicari di Youtube, dengan syarat berniat ikhlas dan beramal soleh,hehe]

Menjadi satu teka-teki adalah keengganan tertuduh untuk bersumpah kerana katanya ada ulama-ulama yang menasihatkan supaya tidak terikut-ikut rentak sumpah-menyumpah ini. Jika perkara ini beliau lakukan ikhlas demi agama, demi mengelakkan agama ditertawakan, maka saya menyanjunginya. Jika ini dilakukan kerana kepentingan diri, maka saya sumpah dirinya. Menarik juga jika saya tampilkan di sini, bahawa pihak PAS pernah menggesa pengerusi SPR melalui proses mubahalah, bersumpah bahawa dia tidak pernah menipu dalam proses pilihanraya.

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Hrkh) – Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mencabar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bersumpah dengan kalimah “waLlahi, wabiLlahi, wataLlahi” di Masjid Negara bahawa beliau tidak pernah melakukan sebarang penipuan di dalam pilihan raya…[pautan dari Harakah]

Saya beranggapan ini adalah ‘double standard’ dalam berpolitik. Apa kata mereka dalam hal ini pula? Tidakkah perlu pengerusi SPR mengemukakan saksi-saksi? Usahlah menjadikan isu sumpah ini suatu yang menjadi jalan mudah untuk melepaskan diri. Kita masih ada sistem kehakiman dan proses perundangan sendiri. Ah, saya lupa, negara ini penuh konspirasi. Bukan konspirasi biasa, malah konspirasi tahap tinggi.

“Kalau setiap kali berlaku pendakwaan, pendakwa dan yang didakwa perlu bersumpah mahkamah Islam pasti akan jadi bahan tawa orang lain. Pendakwaan tidak akan sabit dengan sumpah. Sumpah hanya untuk tertuduh membersihkan diri setelah proses meneliti bukti yang didatangkan menemui jalan buntu. Dalam kes pemuda berani ini sebenarnya sumpah yang dilakukan adalah amat ganjil; dia yang mendakwa dan dia yang bersumpah. Apa nilai sumpah sebegini dalam pendakwaan? Kosong dan tidak mensabitkan apa-apa. Kerja sia-sia (saya baik sikit dari orang lain yang kata kerja bodoh)”[pautan]


Malah, pihak yang mencadangkan sumpah ini turut dituduh berkonspirasi terhadap yang tertuduh dalam kes liwat ini.

“Ada sesetengah pihak yang tersalah sangka dengan menganggap bahawa cadangan saya untuk DSAI dan Saiful bermubahalah itu satu perangkap untuk menjatuhkan DSAI. Demi sesungguhnya tidak! Sebenarnya, sejak beberapa bulan yang akhir ini wujudnya persahabatan bukan politik antara saya dan DSAI. Sikapnya yang lebih lunak dan sering bertanya khabar agak menyenangkan.”[pautan dari Dr MAZA]

Saya melihat perkara ini sebagai rakyat biasa yang inginkan kebenaran. Jauh di sudut hati saya mahukan keadilan kepada semua yang ada di muka bumi ini. Tidak kira sesiapa, dia wajar mendapat pengadilan yang sewajarnya tanpa sebarang gangguan pihak yang berkepentingan. Namun, tuduh-menuduh, sumpah menyumpah, serang menyerang tidak akan membawa Malaysia ke arah yang lebih maju, malahan semakin mundur, khususnya dari segi moraliti dan pemikiran.

Saya tertawa sendirian bilamana sumpah Saiful ini diikuti pula oleh sumpah Timbalan Perdana Menteri dalam cubaan menyisihkan diri dari kontroversi Altantuya. Adakah kontroversi Altantuya ini satu lagi konspirasi tahap tinggi? Kali ini ciptaan siapa pula ya?
Tidak cukup dengan itu, saya disajikan lagi dengan bahan jenaka yang seterusnya, iaitu Statutory Declaration (SD) yang mengatakan Timbalan Perdana Menteri adalah seorang yang dilahirkan muslim tetapi mengamalkan ajaran Hindu [pautan].

Saya tertunggu-tunggu apakah respon ulama’ terhadap ini. Oh, saya lupa SD ini bukan sumpah mubahalah. Apa nak jadi dengan budaya politik ini. Politik menyelamatkan diri sendiri. Politik meliwat, bersumpah, berpuak-puak, dan bertopengkan kasih sayang kepada rakyat.

Ah, saya tertawa lagi. Kali ini dengan ‘pengakuan’ imam yang tiba-tiba melonjak populariti dek kerana sumpah, imam Masjid Wilayah. [lihat pautan jika mahu menonton imam ini bicara]


PERMATANG PAUH: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pengakuan imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi, yang menjadi saksi sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan di sini malam tadi sebagai bukti terbaru wujudnya konspirasi politik untuk menjatuhkan beliau.

Di KUALA LUMPUR, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh pada sidang media sebentar tadi berkata, beliau sangsi dengan kredibiliti Ramlang yang mengeluarkan fatwa atau bercakap mengenai sesuatu tanpa merujuk kepada kitab.

Beliau menjelaskan, sumpah dibuat Saiful adalah sah di sisi Islam.[pautan]

Kalau perkara ini boleh dijadikan bukti, maka sangat rendahlah konspirasi yang di war-warkan sebagai konspirasi tahap tinggi itu.

Saya mengucapkan selamat mengundi kepada penduduk Permatang Pauh.

Sekian.

Tinggalkan Komen »

Tiada komen.

Suapan RSS untuk komen-komen bagi kiriman ini. TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

%d bloggers like this: